Kronologi Darurat di Malaysia

Rusuhan dan penentangan

Sebelum merdeka

    Maklumat selanjutnya: Darurat Tanah Melayu

Sebelum merdeka, Malaysia yang ketika itu merupakan Tanah Melayu atau Malaya telah diisytiharkan darurat oleh pentadbiran British. Ia bertujuan bagi membendung kegiatan politik berhaluan kiri, terutamanya yang membabitkan Parti Komunis Malaya (PKM), selepas penyerahan Malaya daripada Jepun kepada British. Ia berkuat kuasa dari tahun 1948 hingga 1960.

Selepas merdeka

Darurat yang pertama diisytiharkan di Malaysia selepas kemerdekaan ialah akibat konfrontasi negara Indonesia akibat pembentukan Malaysia yang menggabungkan Semenanjung Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak. Ia berlaku pada September 1964.

Pada 14 September 1966 pula, proklamasi darurat dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong di Sarawak bertujuan untuk membolehkan kerajaan menyelesaikan pertikaian politik di Sarawak[2]. Ia berlaku setelah Ketua Menteri Sarawak ketika itu, Stephen Kalong Ningkan, tidak meletakkan jawatan selepas 21 daripada 42 orang anggota Dewan Undangan Negeri Sabah mengisytiharkan hilang kepercayaan terhadapnya.

Pada 15 Mei 1969 pula, proklamasi darurat dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong berikutan rusuhan kaum yang berlaku pada 13 Mei 1969[2]. Ia berlaku akibat berlakunya provokasi perkauman setelah berlangsungnya Pilihan raya umum Malaysia 1969.

Pada 8 November 1977, proklamasi darurat dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong di Kelantan bertujuan untuk menyelesaikan pertikaian politik di negeri Kelantan[2]. Ia berlaku setelah Menteri Besar Kelantan ketika itu, Datuk Mohamed Nasir, tidak meletakkan jawatan selepas Dewan Undangan Negeri Kelantan meluluskan undi tidak percaya terhadapnya.

Ancaman jerebu

Darurat mengenai ancaman jerebu yang teruk pernah diisytiharkan di Malaysia. Pada September 1997[3], darurat telah diisytiharkan di Sarawak akibat jerebu yang teruk. Pada 11 Ogos 2005, Kuala Selangor dan Klang pula telah diisytiharkan darurat[4]. Pada 23 Jun 2013 pula, Muar dan Ledang, Johor pula diisytiharkan darurat akibat indeks pencemaran udara yang terlalu tinggi[5].

Penularan wabak

Berikutan kemelut politik Malaysia dan pandemik COVID-19 di Malaysia, Perdana Menteri Malaysia, Muhyiddin Yassin telah menghadap Yang di-Pertuan Agong pada 23 Oktober 2020 untuk mencadang pengisytiharan darurat bagi seluruh negara. Walau bagaimanapun, cadangan awal tersebut ditolak[6].

Pada 18 November 2020, proklamasi darurat diisytiharkan di Parlimen Batu Sapi, Sabah[7] sebagai langkah membendung penularan wabak sekaligus membatalkan pilihan raya kecil yang sepatutnya dilangsung dalam waktu terdekat. Kerusi Parlimen Batu Sapi diisytiharkan kosong setelah Ahli Parlimennya, Liew Vui Keong meninggal dunia[8].

Pada 16 Disember 2020 pula, proklamasi darurat diisytiharkan di dua tempat iaitu Parlimen Gerik, Perak dan DUN Bugaya, Sabah[9] sebagai langkah membendung penularan wabak sekaligus membatalkan pilihan raya kecil yang sepatutnya dilangsung dalam waktu terdekat. Pilihan raya kecil dua kerusi berkenaan dijadualkan serentak pada 16 Januari 2021, setelah diisytiharkan kosong selepas wakil rakyat masing-masing, Hasbullah Osman (Gerik)[10] dan Manis Muka Mohd Darah (Bugaya)[11] meninggal dunia.

Pada 12 Januari 2021, proklamasi darurat diisytiharkan di Malaysia keseluruhannya[12] sebagai langkah proaktif membendung wabak COVID-19 di Malaysia. Ia diisytiharkan oleh Perdana Menteri setelah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong Malaysia. Ia dikuatkuasakan sehingga 1 Ogos 2021. Sistem perundangan digantung di peringkat persekutuan (Parlimen) dan negeri (DUN). Ini sekaligus menghalang penganjuran sebarang pilihan raya umum di Malaysia[13].

Rujukan

WikiPedia: Darurat di Malaysia http://www.ukm.my/geografia/images/upload/1.2009-2... http://web.archive.org/web/20210113001955/https://... https://www.astroawani.com/berita-malaysia/najib-i... https://www.bernama.com/bm/am/news.php?id=1921100 https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/10... https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/11... https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/11... https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/11... https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/12... https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/01/663036/...